Ahad, 18 Ogos 2013

Baju Kurung Teluk Belanga.






Assalamualaikum.
Terasa masih hangat meriahnya suasana perayaan biar pun rembang petang telah hampir merubah wajah. Jika tidak silap saya perkiraan Syawal telah hampir setengah purnama. Ini bermakna 19hari saja lagi Syawal juga akan pergi tinggalkan kita., seperti yang terjelas bermula tetap berakhir bertemu tetap berpisah..

Jika melihat perkiraan bulan Islam, Allah sepertinya menjodohkan sesuatu itu sesuai dengan masa dan ketika. Ramadhan bulan segala bulan,didalamnya ada keberkatan  Lailatulqadar bagi sesiapa yang mengharapkannya. Syawal juga tidak kurang hebat dan barakah jika kita faham dan mahu mengerti.

Dua puluh tahun lalu, kali pertama saya menjejakkan kaki ke selatan tanahair, Johor, darul takzim.
Pertama kali agak terpinga-pinga juga bila melihat adat resam mereka di sana. Saya melihat masyarakatnya begitu berpegang kuat dengan adat, Johor sinonim dengan setiap perayaan..
Paling ketara, Ramadhan sebulan penuh berpuasa maka Syawal juga di lihat sebulan umat Islam menyambut Hari Raya. Jangan terkejut saya katakan, sebuah negeri unik, masyarakat terikat dengan adat dan tradisi, Syawal termasuk salah satu pelbagai sambutan eg di dalamnya ada majlis Hari Raya,
Rumah Terbuka, Marhaban, kunjungan formal / tidak formal. Itu adalah sesuatu yang wajib dalam budaya mereka.

Apa yang menarik ingin saya sentuh ialah ethika berpakaian dalam setiap sambutan. Ia mesti disuaikan dalam setiap majlis. Pada hujung minggu hari Jumaat pakaian wajib ialah baju melayu.
Itu adalah pakaian rasmi, beserta sampin,songket dan songkok, begitu segak dan menawan.
Saya kira itu begitu teruja dan meriah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain kerana mereka berupaya mempraktikkan budaya berpakaian.
Dalam majlis perkahwinan pula, wanitalah yang paling anggun dan bergaya. Pakaiannya berwarna warni, diserikan pula dengan tudung berbling-bling, aksesori berkilauan apabila terkena pancaran sinaran matahari..
Saya masih ingat satu ketika seorang rakan pernah berkata, biasanya kami lebih mengambil berat tentang persalinan musim perkahwinan berbanding hari raya. Itu membawa maksud baju hari raya tahun lepas masih boleh di gunakan pada tahun ini, tapi tidak dalam majlis perkahwinan, mungkin akan melanggar adat agaknya...apa pun bagi saya itu terpulang pada budi bicara sendiri dan pocket money masing-masing..

Kita kembali kepada Syawal, jika di lihat sekilas pandang, negeri-negeri lain di tanah air terutama di timur semenanjung eg. Kelantan dan Trengganu,( Serambi Mekah) majoriti golongan yang berusia emas (orang lama yang tidak akan berapa lama..) seperti ayah,ibu, datuk dan nenek , mereka akan mula berpuasa sunat bulan Syawal selama 6 hari sebagai menampung kekurangan ibadat selama setahun.
Di situlah kita melihat keberkatan bulan Islam yang Allah anugerahkan kepada umatnya yang terdahulu hingga ke hari ini. Hebatnya ganjaran pahala Allah sediakan pada 6hari berpuasa seolah kita berpuasa sepanjang tahun. Begitu juga ganjaran  Rejab, Syaban dan hari-hari tertentu seperti Isnin dan Khamis. Malangnya kebanyakan dari kita tidak mampu melihat keistimewaan tersebut kerana hati kita tersangat rapuh mencintai urusan akhirat.
Benarlah firman Allahswt.. .Wahai orang -orang yang beriman , Sesungguhnya antara isteri dan anak-anak mu ada yang menjadi musuh bagi mu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampun(mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang...At- Taghabun ayat 14. , .  dunia yang bersifat sementara , akhirat adalah tempat kembali....semuga ia akan menjadi pengajaran buat saya dan semua..,InsyaAllah..

Saya tinggalkan Syawal yang hampir berlalu pergi semuga apa saja riadah bulan tersebut dan di bulan lainnya akan mendatangkan manfaat , keberkatan berpanjangan kepada kita semua.
Mudah-mudahan Allah akan lanjutkan usia kita, dapat mengerjakan amalan terbaik, tahun ini, tahun hadapan,dapat merayakan Syawal dengan penuh kemeriahan di samping orang yang tersayang.
Dalam pada kita ghairah berhari raya semuga hati kita akan sentiasa mengingatkan kepada mereka yang tidak berupaya, kepada yang memerlukan, kepada yang ditinggalkan dan yang di dalam kedukaan. Kebahagiaan dalam sebuah keluarga memerlukan pengorbanan tidak kira dalam persahabatan / rumahtangga. Kasih sayang, kesetiaan, toleransi adalah asas utama membentuk keluarga bahagia..berlandaskan agama sebagai pegangan hidup..insyaallah...
`sometimes you make the decision rights, sometimes you make the right decision' - dr.phil..
Tq, wassalam.- tq photo - anggun muslimah.
august. 19.2013.blwnz.,11.17am.

Rabu, 10 Julai 2013

Semarakkah Ramadhan 1434H.....


Assalamualaikum.

July 10.2013 bersamaan 1 Ramadhan 1434H, ramadhan datang kembali, ramadhan juga akan berlalu pergi.
Salam Ramadhan, wish you a very happy ramadhan and the whole muslim ummah.
Apabila membicarakan ramadhan pasti kita akan menyentuh lebaran atau hari raya.
Hari Raya dan Ramadhan adalah pengikat kasih sejati antara keduanya. Kesetiaan keduanya saling melengkapi  sepertimana kasih di antara makhluk dan penciptanya.

Di zaman Nabisaw dan para sahabat, ramadhan adalah bulan yang sentiasa dinantikan kedatangannya.
Semuanya sedia maklum ramadhan adalah penghulu segala bulan kerana di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan dan dituntut umat Islam bermuhasabah diri.

Persoalannya buat saya dan semua,sudah bersediakah kita menyambut akan  kedatangannya... mampukah kita melakukan segala amalan dengan penuh istiqamah,tawaduk dan khyusuk bagi menggapai kesemua keberkatan Ilahi, menjadikan diri sebagai insan yang lebih sabar, penyayang, redha, dengan segala ujian Allah...
Dari Jabir r.a Nabi bersabda, Di malam akhir Ramadhan menangislah 7 petala langit dan 7 petala bumi dan para malaikat kerana akan berlalunya ramadhan dengan segala keistimewaannya. Di malam terakhir ramadhan juga iaitu di Masjid Nabawi, Madinah dipenuhi umat Islam beriktikaf hanya kerana ramadhan akan berlalu pergi meninggalkan semua. Umat Islam waktu itu bimbang tidak berpeluang bertemu ramadhan  yang akan datang.





Berbeda dengan kita umat Islam hari ini, mengapa terjadi demikian... mungkin penghayatan kita kepada ramadhan telah berkurangan atau penghayatan Islam itu sendiri  telah tipis jauh dari hati dan jiwa umat keseluruhannya...
Malam hari ramadhan yang penuh keberkatan dituntut untuk Solat Tarawih (tapi sayangnya kita tidak  mampu kerana kekenyangan),disuruh untuk qiyamulai (emm  ngantuknya...), membaca al Quran atau kata lain mendekatkan diri kepada Allah bagi mengharapkan keampunanNya.
Perbanyakkan sedekah sebagai satu amalan untuk menampung segala kekurangan selain daripada zakat  yang tertanggung atau yang diwajibkan ke atas  setiap individu.
Banyak di antara kita memandang ringan tentang pengeluaran zakat yang merupakan salah satu dari rukun Islam yang menjadi tonggak kesempurnaan seseorang itu.
Firman Allah surah al Baqarah ayat 261 maksudnya - Bandingan derma orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah  seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tangkai, tiap-tiap tangkai mengandungi 100 biji. Dan ingatlah Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha luas rahmat kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.

Dua bulan lepas kita dipenuhi dengan pesta pru 13. Bulan ini pula kita akan dipenuhi dengan pesta pelbagai warna.  Musim perayaan gedung-gedung perniagaan menawarkan slogan Sale segenap penjuru eg  Jualan Mega Raya, Promosi Ramadhan,Clearance Sales, Promotion up to 70% and blablabla.......
Di sinilah perlu adanya kebijaksanaan  kerana kuasa membeli  terletak di tangan pelanggan .







Tidak salah untuk berbelanja sebagai tanda kesyukuran kerana dapat mempertingkatkan  amalan di sisi Allah disamping membantu saudara Islam.
Apa yang menyedihkan, perlukah kita berhabisan (beraya sakan orang johor kata) untuk meraikan ramadhan dengan pesona hijab, membeli fabrik mewah sebagai taruhan, bergaya muslimah kontemporari, diserikan pula dengan organza exlusive beserta aksesori anggun dan menawan...sesungguhnya membazir itu adalah saudara ........
Berala kadarlah dengan rezeki kurniaan Allah sambil merenung saudara Islam  kita di luar sana yang hidup dalam kemiskinan dan kepayahan...

Rezeki kurniaan Allah adalah bersifat materialistik namun ia tidak akan memberi arti jika keikhlasan sumbangan kita tidak mendapat tempat / nilai di sisi Allah.
Sedekah yang baik bergantung  kepada hati / niat individu. Tiada manusia berhak mempersoalkannya.
Firman Allah - Wahai orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
Janganlah kamu memilih sesuatu yang buruk untuk dijadikan pemberian zakat.., sesungguhnya Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji. al - baqarah 267.

Dengan limpahan Allah kita hidup di atas dunia yang indah ini dan satu masa kita akan dimatikan seketika di alam barzakh... dengan limpahan Allah juga kita akan dibangkitkan kembali untuk dihitung segala amal kebajikan dan seterusnya dimasukkan ke syurga Allah dengan redhaNya.
Ya Allah ya Tuhan kami, ampunilah segala dosa-dosa kami, limpahkanlah kami taufik dan hidayahMu., dan masukkanlah kami ke dalam syurga Mu... amin...
Pengakhir kata salam ramadhan  untuk semua, mudah-mudahan Allah panjangkan usia kita dapat melakukan amal kebajikan yang sempurna dan dapat bertemu lagi  di ramadhan yang akan datang, InsyaAllah...








Tq photos - ramadhan tijd, mosques of the world masjid Nabawi, danissa wardrobe, ainul mardhiah- bidadari syurga.
rujukan - Nur magazine.

Tq.wassalam.
 july 11. 2013.,2 ramadhan.1434h. 12.30am.

Isnin, 1 Julai 2013

Harga Kasih Sayang Sebiji Epal...Ayah.


Assalamualaikum.,

June 2013, Hari Bapa,saya ucapkan Selamat Hari Bapa.
May 2013, Hari Ibu,saya ucapkan Selamat Hari Ibu.
Biar pun sebulan telah berlalu namun kasih sayang ibu dan ayah tidak pernah membataskan saat dan waktu dan tiada jarak pemisah  kasih di antara keduannya.
Ibu yang melahirkan,bapa sebagai pelindung, ketua keluarga buat semua untuk anak-anak yang dikasihi.
Bapa sering membahagiakan hati ibu tercinta,mencurahkan kasih sepenuh hati untuk putera dan puterinya,
menyemarakkan hubungan kekeluargaan seluruhnya hingga menjadi satu institusi keluarga bahagia.
Bertuahnya kehidupan anak-anak yang masih mempunyai ke dua ibu dan bapa.

Syurga itu di telapak kaki ibu, Sabda Rasulullahsaw, Kerelaan Allah bergantung kepada kerelaan ke dua ibu dan bapa. Tiada ibu bapa tiadalah kita melihat kehidupan dunia,bulan,bintang dan matahari.
Betapa besarnya pengorbanan mereka,tanpa restu,doa dan kemaafan pastinya kita tidak akan merasai nikmat syurga Allahswt yang dijanjikan. Restu bapa kasihnya berpanjangan masa berada,selama hayat di kandung badan. Bahagiakanlah hati mereka ke duanya...





Kenangan mengusik jiwa...
Suatu waktu dahulu ketika saya kecil, jika saya demam panas, ayah akan ke pekan membeli beberapa bungkus ubat. Sesampainya di rumah ayah akan membancuhnya dengan segelas air suam. Bersamanya disediakan segelas susu putih sebagai pembilas  untuk menghilangkan rasa pahit ubat tersebut dan sebiji epal.
Paling mengharu dan menyentuh perasaan saat itu, kasih sayang ayah sesegar sebiji epal pastinya sentiasa di hati dan tidak mungkin saya lupakan...
Begitu juga sewaktu saya kemalangan sekitar 1970n, (ingat-ingat lupa), ayah mendukung saya ke hospital dan saya menerima jahitan di dahi kanan,walau kini lukanya telah lama sembuh namun parutnya masih lagi ada
dan begitulah ia hingga ke akhir penghujung usia...

 Kini ayah dan ibu tiada lagi,semuga Allah cucuri rahmat ke atas roh ke duanya.
 Juga bapa wilson yang sentiasa mengambil berat akan diri saya seperti persekolahan,kesihatan dan
 kebajikan lainnya.
 My father gave me the greatest gift, I love you so much, you will be always in my heart and thank you so
 much for all of your love...

Segalanya begitu indah saat itu dan kini telah berlalu..
Walau ayah dan ibu telah tiada namun ingatan ke duanya sentiasa terpahat di hati. Berkat doa,restu,
kasih sayang dan sentuhannya, hari ini mereka menjadikan saya seorang insan.

Pendidikan terbaik dari seorang ayah dan ibu untuk anak-anak adalah supaya mereka menjadi manusia.
Ungkapan `memanusiakan manusia',untuk menggambarkan betapa manusia adalah makhluk istimewa ciptaan Allah di berikan akal,nafsu bagi membedakan perkara yang benar dan salah.
Allah mengingatkan firmannya (surah al-Furqan: 43-44),
Terangkan kepadaKu  tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya,maka adakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya? Atau adakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar dan memahaminya? Mereka itu tidak lain seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat jalannya daripada binatang ternak itu... catatan us roslan yusnain.

Wahai anak-anak yang dikasihi, bahagiakanlah hati mereka berdua selama hayat masih ada.
Hargailah,berbaktilah kepadanya sebagaimana curahan kasih sayang  mereka yang tidak berbelah bagi.
Kesusahan dan kepenatan yang mereka rasai  terbalas apabila  melihat kejayaan anak-anak memperolehi  ilmu sebagai bekalan hidup dunia dan akhirat...

Sebuah pesanan ibu untuk anaknya...
Ibu bercerita tentang arwah ayah
Kata ibu,dalam usia seperti kamu ini
Arwah ayahmu dahulu
Ghairah menuntut ilmu
Walau sudah berumur tua
Kerana ilmu umpama lampu
Menyuluh jalan hidup...
puisi - muhammad amir syahmi.

Tq photos, apple lulu pages blogspot, father and son sethskim.com.


july 2nd.2013.,11am.
psh , june 6.2013.
Tq,wassalam.









Selasa, 18 Jun 2013

Cita-cita...Harapan..

Assalamualaikum.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah,Penyayang lagi Mengasihani,
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammadsaw.

Semalam june 18.2013,hari pertama penulisan saya sebagai pembuka bicara hati yang juga terlahirnya bloq pertama saya.18hb. adalah hari begitu istimewa kerana ia mengingatkan saya kepada seseorang.....
Bloq pertama yang begitu simple,penataan warna menghiasi sekelilingnya,didominasikan warna lembut krim agar dapat membangkitkan keceriaan hati. Mungkin itu adalah simbolik kehidupan yang dilalui ,diharapkan mudah tanpa ada cabaran namun sebenarnya dalam kita mencari pengertian hidup jalannya adalah panjang dan berliku-liku. Lihat pada bulan,lihat pada bintang, begitu jauh cahaya gemerlapan...begitu kita sentiasa merindukannya,ingin sekali jari jemari untuk memetiknya,apakan daya bintang jauh di kaki malam...bulan bersembunyi disebalik samar kegelapan , sedang angin malam yang berlalu pergi, rindu tetap dikhabarkan membawa pesanan mengiringi jauh beribu batu perjalanan...

Syukur kehadrat Allah,terlahirnya penulisan saya yang pertama ini,ia merupakan sesuatu yang baru,begitu mengujakan dan mencabar minda. Walau ia tidak seberapa,diharap dapat menggarap fikiran saya juga pembaca diluar agar sama-sama dapat membantu melahirkan idea atau apa sahaja pandangan..
Sebelumnya saya menulis dengan lebih panjang,pertama sekali  dari hati ini ingin mengucapkan terima kasih kepada yang tidak pernah dilupakan. Jauh tidak semestinya tiada lagi diingatan,ia hanyalah pengukur kepada jarak pemisah satu benua namun salam yang bertebaran sentiasa dikirimkan..
Kata-katanya,ucapannya seperti embun dinihari memberi kesegaran kepada rumput,unggas dan sesiapa sahaja untuk bingkas bangun menerima kurniaan Ilahi untuk memulakan hidup baru dipagi hari,sesegar mungkin..
Begitu banyak ilmu,tunjuk ajar,teguran  di dalam bidang penulisan pastinya tersimpan kemas di hati.
Indah dan segar,kata-kata sentiasa  tersemat dan mengajar saya menjadi seorang yang lebih sabar dan tabah untuk berjaya didalam hidup ini. Tegurannya tidak pernah tersimpan di hati malah ia lebih berupa kata pembakar semangat untuk lebih berfikiran positif.
.
Fitrah insan adalah kejayaan dalam hidup namun realitinya ia tidak semudah yang diucap. Ia memerlukan  perjuangan,kesungguhan dan pengorbanan. Tangga kejayaan yang perlu di daki ,ada yang dapat melepasi hingga ke puncak,ada yang tersungkur dipertengahan,ada yang rebah,gagal ketika saat permulaan.
Itulah asas untuk melihat hidup dengan lebih jauh dan membina kehidupan  agar bersikap positif dan yakin.
Pepatah Arab berkata,jika  ilmu itu hanya boleh diperolehi secara berangan-angan,nescaya tidak akan lahirlah manusia yang jahil di atas bumi Allah ini.
Setiap kegagalan yang ditempuh ia adalah satu cabaran untuk menggenggam erat cita-cita dan menjadikannya realiti masa hadapan. Hati tidak semestinya kecewa,kerana rahmat Allah ada dimana-mana, jiwa tidak akan menjadi lemah kerana sandaran agama masih ada, lantaran semangat dan  doa  tetap bersama Allah  di hati dan selamanya begitu hingga ke akhirnya.

Sebaris kata-kata yang pasti menjadi ingatan... ada yang diberi ilmu paling bakhil untuk berkongsi ilmu...
semuga Allah melindungi kita semua, InsyaAllah...
Barangsiapa menuju satu jalan mencari ilmu nescaya Allah akan memudahkan baginya satu jalan menuju ke Syurga.(hadis riw. muslim). Semuga Allah akan sentiasa memberkati penulisan  beliau juga penulis bloq yang lainnya.
Pengakhir kata, saya ucapkan Selamat Hari Bapa (Happy Fathers Day) june 16. to you dan untuk  semua.
Kasih sayang seorang ayah dan ibu  untuk anak-anak pastinya akan sentiasa berpanjangan selama masa berada, selagi hayat dikandung badan.

Being part of ablgspt means so much to me, I am really glad, I have learned a lot of writing, sharing my experience, and intend to make the best....will long carry in my hearts....thank you very much....

 june 19.2013.- wassalam.