Selasa, 20 Disember 2016

TINGG .....

                                      Assalamualaikum - Welcome to Dima's blog , Tq .


Assalamualaikum .


Ting .....

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yang sedang asyik membancuh simen .
Melihat logam kecil itu  tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja . Tidak menunggu lama ,
 tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalan poketnya .
Dia menyambung semula kerjanya .

Ting .....

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya . Lelaki itu menoleh
ke kiri , ke kanan dan sekeliling . Tiada siapa yang berdekatan dengannya . Sekali lagi dia
terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya .
Tidak lama kemudian lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya .
Pun sama , dia mengambil dan menyimpannya . " Rezeki aku ", kata lelaki itu dalam hatinya .

Lelaki itu tidak sedar , logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras
lapan bangunan separuh siap yang mereka bina itu .
Sebenarnya  ketuanya mahu memanggilnya . Ada pesanan yang mahu disampaikan olehnya .
Puas ketuanya menjerit dari aras lapan itu , cuba memanggil lelaki yang berada pada aras
paling bawah .

Namun , jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan
di kawasan tersebut . Dek kerana itulah , ketuanya mencampakkan syilingnya dengan harapan
lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas .
Mudah - mudahan dapatlah dia menyampaikan pesanannya kepada pekerjanya itu .
Sayangnya , sehingga habis wang syiling dibaling ke bawah , lelaki itu masih belum juga
mendongak ke atas .

Lantas , ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yang terdapat di lantai . Satu persatu
batu kecil itu dibaling ke bawah .
Beberpa kali batu itu mengenai badan lelaki itu . Setelah merasa sakit dan terganggu barulah
lelaki itu mendongak ke atas , melihat dan mencari dari mana datangnya batu - batu yang
mengenai tubuhnya .

Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yang sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi
menyampaikan pesanannya .....

TING .....

Kisah ini sekadar simbolik antara kita dengan Yang Maha Pencipta . Tanpa sedar Allah
sering menjatuhkan syiling lambang rezeki , rahmat , kesenangan yang tidak terkira
banyaknya kepada makhluk ciptaanNya .

Tuhan menjatuhkan syiling itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas
untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaanNya . Tetapi kita acap pula lalai untuk
mendongak ke atas , sebaliknya terus menikmati pemberianNya tanpa mengucapkan
terima kasih .

Seperti kisah itu .....apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian  lalu Dia
jatuhkan pula batu yang berupa musibah , kegagalan , keperitan  dan pengalaman yang
menyakitkan . Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu barulah kita teringat untuk
mendongak , menadah tangan  bersyukur mengingati Allah Yang Maha Pencipta .


Desaru View Hotel , Mah - 93  - TQ .


Doaku hari ini ....

Aku memilih untuk bahagia ... dengan rasa syukur kepada Tuhanku ....bahawa aku masih
mampu bernafas . Aku bermohon diberikan ketenangan dan hidayahMu .
Limpahkanlah rezeki dan kasih sayang untukku , kedua ibu bapaku , keluargaku ,
sahabat - sahabatku , insan - insan tersayang dan seluruhnya saudara Islamku .
Ya Allah ... kami memohon segala kebaikan pada hari ini , seterusnya . Berilah kami iman
yang sempurna , ilmu yang bermanfaat , rezeki yang halal , usia yang barakah , doa yang
mustajab , hajat yang tertunai , kesihatan yang berpanjangan , keselamatan kesejahteraan
dunia dan akhirat . Amin ......


December 21 . 2016 - 9.07am .


Tiada ulasan:

Catat Ulasan